PERGOLAKAN DI MESIR MEMBERI IMPAK PELBAGAI KEPADA USAHAWAN SISWAZAH MALAYSIA – INSPIRE.

Press release

Pergolakan di Mesir dilihat bakal memberikan impak yang pelbagai kepada para usahawan siswazah Malaysia yang menuntut di Kaherah dan beberapa bandar yang lain. Samada disedari atau tidak, terdapat kelompok komuniti yang besar oleh para pelajar yang menuntut di Mesir menjalankan pelbagai aktiviti keusahawanan samada bagi memenuhi minat dan masa lapang mahupun sebagai sumber pendapatan tambahan bagi menampung pengajian mereka di Mesir.

Kumpulan pelajar ini terlibat di dalam aktiviti perniagaan yang pelbagai seperti perusahaan makanan sejuk beku, katering, restoran, peruncitan, perkhidmatan pelancongan, logistik dan penerbitan. Kualiti keusahawanan dan daya usaha oleh para pelajar disokong oleh Institute for Pioneering for Education and Economic Excellence (INSPIRE)  dan beberapa program kecil telah diaturkan bersama pelajar semenjak tahun 2011.

INSPIRE melihat pergolakan di Mesir boleh memberi impak di mana sebahagian besar aktiviti keusahawanan pelajar akan terganggu dan mendapat kesan terus yang teruk khususnya bagi aktiviti melibatkan bidang perkhidmatan pelancongan, sewaan kenderaan dan pemandu pelancong.

Manakala aktiviti peruncitan, bekalan makanan dan bahan mentah akan mengalami kesan peningkatan positif kerana kebanyakan pelajar akan bergantung kepada sumber-sumber ini memandangkan pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang mewakili persatuan pelajar di Mesir telah mengeluarkan pekililing menasihatkan para pelajar untuk tidak keluar dari kediaman selepas waktu Solat Asar, dimana waktu ini adalah waktu kemuncak kedua-dua penyokong Morsi dan pembangkang akan keluar berdemonstrasi sehingga Isya’, ujar Presiden dan Pengasas INSPIRE, Husam.

Menurut salah seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Ustaz Jet, mengusahakan kedai runcit di kawasan penempatan pelajar di Bandar Nasr serta mengusahakan lading serai dan cili padi di pinggir Kaherah, beliau menyatakan jualan meningkat hampir seratus peratus memandangkan kebanyakan pelajar membeli dalam bentuk pukal sebagai bekalan.

ImagePara pelajar ini berhubung diantara satu sama lain melalui laman sosial facebook, Pasar Mesir dan Pasar Asia bagi mempromosikan perkhidmatan dan jualan mereka.

INSPIRE menekankan bahawa perlunya para pelajar ini diberikan sokongan baik oleh pihak agensi kerajaan yang berkaitan pembangunan usahawan mahupun pihak Education Malaysia Egypt (EME) dari segi latihan pengurusan dan keusahawanan korporat. Ini adalah bagi memastikan bahawa para pelajar akan meneruskan kesinamnbungan mereka sebagai usahawan tanpa bergantung kepada tawaran pekerjaan berkaitan pengajian Islam apabila pulang ke tanah air. INSPIRE juga merancang untuk memperkembangkan capaian program mereka kepada para pelajar khususnya dari Al Azhar kepada kumpulan yang lebih besar. Mereka ini akan menjadi contoh sebagai usahawan tulen yang mempunyai ciri-ciri keusahawan korporat berteraskan falsafah dan syariat Islam.

INSPIRE adalah merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan. Organisasi ini adalah merupakan badan pemikir yang pertama seumpamanya yang hanya memfokuskan kecemerlangan pendidikan dan ekonomi melalui aktiviti keusahawanan.

Advertisements