Travelog Aidil Fitri – Episod 2

Selepas selesai berbuka puasa dan berehat-rehat, Hanif sudah mula kelam kabut bersiap-siap. Katanya papa hendak ke Masjid Haram jam 9 malam. Anuar pula katanya hendak ke Jeddah untuk mengambil baju thoob atau orang Malaysia memanggilnya jubbah bersama-sama Mostafa. Eh kenapa semuanya tergesa-gesa.

Asalnya perancangan saya selepas berbuka bersama papa dan mama saya hendak terus ke kediaman ibu saudara yang kami semua panggil Makjang. Makjang adalah istrinda kepada Almarhum Pakjang, kekanda kepada ayah.

Awal-awal lagi Makjang telah berpesan semasa saya menelefonnya di Malaysia agar berhari raya di kediaman beliau di Rosaifa. Katanya beliau tidak akan mengizinkan saya beraya di tempat lain mahupun tinggal di rumah orang lain.

Melihat kelibat Hanif yang bersungguh-sungguh memakai thoob siap ber’ghutra’ dan igal, sejenis kain serban putih yang diletakkan diatas kepala, pakaian kebiasaan dan pakaian kebangsaan orang Negara Teluk membuatkan saya terasa ingin menikmati solat Aidil Fitri di Masjid Haram. Ini bukanlah kali pertama saya berhari raya di Mekah, tetapi selalunya saya akan menyambut di kediaman keluarga yang terletak lebih kurang beberapa kilometer dari Masjid. Pastinya Al Haram bukanlah kegemaran untuk penduduk tempatan kerana kesesakan di sana. Maka secara automatiknya sekiranya saya ingin bersolat di sana, sepupu saya adalah orang yang terakhir untuk saya ajak mereka bersama. Pemandu Makjang atau teksi adalah penyelesaian terbaik. Saya mengambil keputusan untuk berhari raya, dan bersolat Aidil Fitri di Masjidil Haram, dan pastinya ini adalah pengalaman pertama saya. Saya teruja.

Dengan bingkas saya terus mencapai tuala dan bersiap-siap ke masjid. Saya menyarung thoob berwarna biru tua, atau lebih tepat orang utara memanggilnya ‘biru bijik ghemia’ . Thoob ini saya tempeh beberapa bulan yang lalu bersama Fitri di share Hira’ di Jeddah.

Eh saya mula terfikir. Perlukah kita pergi sekarang ke masjid sedangkan baru mencecah jam 9 malam. Jawab Hanif ya, atau tidak kita terpaksa solat di tepi jalan raya.

Kami terus ke Masjid Haram dengan menaiki teksi di hadapan hotel dan dalam masa 10 minit kami sudah berada di hadapan jalan menuju ke Al Haram. Teksi tersebut tidak dapat masuk ke dalam kerana jalan sudah ditutup dan teksi diberhentikan berdekatan Hotel Elaf di persimpangan masuk. Saya membayar 20 Riyal.

Perasaan teruja tergambar dimuka kami. Ketika itu rasanya baru selesai solat Isya dan orang ramai berpusu-pusu keluar. Maknanya kami terpaksa meredah dan melawan arus lautan manusia. Sudah menjadi kebiasaan orang kerdil asia terpaksa mengelak daripada susuk-susuk badan yang besar orang orang Turki, Pakistan dan Mesir. Mereka seolah olah susah untuk bergerak atau membelok bak sebuah kereta kebal yang dempak yang hanya berjalan lurus. Hanif berjalan laju ke hadapan tanpa mempedulikan kami. Saya pula cuba memperlahankan perjalanan kerana mama sememangnya sakit lutut. Jalannya memang perlahan. Papa setia disisi.

Rasanya dalam 5 minit kami sampai ke menara Safwa dan terus ke tingkat 3 ke kawasan food court. Ketika itu saya terus lupakan mama, papa dan Hanif kerana saya teruja untuk berjumpa sahabat lama, Azrin di pejabatnya di belakang. Felda Global Ventures Arabia Ltd terpampang di pintu masuk pejabatnya yang lebih kurang 10 meter persegi itu. Nama tersebut sudah cukup memberikan kebanggaan yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik. Felda D’Saji adalah satu-satunya syarikat yang berjaya mendapat tempat di tempat paling strategik di kawasan Al Haram. Tidak ramai mengetahui bahawa syarikat ini mengalami kerugian dan defisit melebihi 1 juta Riyal setiap tahun. Tetapi keuntungan bukanlah sasaran utama D’Saji bertapak disitu tetapi CSR untuk rakyat Malaysia oleh Felda dan kerajaan serta penjenamaan itu yang penting.

Image

Azrin nampaknya lebih bertenaga berbanding suaranya seperti rindukan isteri semasa bercakap didalam telefon. Ketika saya masuk beliau tidak memakai baju. Kasihan orang demam katakan. Beliau bingkas mencapai serban cokelatnya untuk menutupi badan beliau. Kami berbual-bual dan setelah sekian lama baru saya sedari yang saya telah terlupakan mama dan papa di café D’Saji.

Kami berbual-bual dari hal biasa dengan masalah igamahnya (visa bekerja) dan luahan hati kerana ini adalah tahun kelima beliau tidak dapat berhari raya bersama anak. Katanya D’Saji telah kerugian hampir dua ratus ribu kerana terpaksa ditutup selama beberapa minggu. Masalah biasa bagi sebuah syarikat yang beroperasi di Arab Saudi. Arab Saudi bukanlah sebuah negara yang mesra pelabur asing dan juga orang luar. Mereka mengamalkan polisi kerajaan tertutup. Tutup seketat ketatnya.

Yang pastinya walaupun saya tidak boleh membuat pernyataan bahawa penyelesaian masalah D’Saji diselesaikan oleh saya, tetapi saya bersama mereka ketika mereka didalam permasalahan tersebut. Pertemuan bersama Dato’ Omar, En. Zaid dan Syed Fadhil ketika beberapa bulan yang lalu di Hilton Jeddah telah membawa banyak perkembangan kepada semua. Saya masih ingat ketika itu bagi menjawab soalan Dato’ Omar dan usulan Syed Fadhil bagaimana untuk menyelesaikan masalah D’Saji yang terpaksa ditutup.

Jawab saya, ya ‘pride’ kita sebagai satu-satunya syarikat Malaysia yang memegang 100% pegangan asing di Arab Saudi. Tetapi kita mesti akur dengan keadaan semasa. Saudi Nationalization polisi membimbangkan semua orang luar di sini. Jalan terbaik adalah mengikuti apa yang saya lakukan dan semua orang lakukan. Mengambil seseorang sebagai wasta atau proxy bagi mewakili kita di Arab Saudi. Pendaftaran dan perlesenan serta urusan visa pekerja semuanya mestilah di bawah nama orang tempatan. Dengan kaedah ini banyak masalah yang tidak perlu dapat dielakkan.  Masalahnya siapakah yang patut kita jadikan proxy?

Sambung saya kepada Dato’ Omar, di Saudi ada tiga jenis karektor yang boleh kita jadikan rakan kongsi ataupun wasta. Satunya orang yang mempunyai wang, keduanya orang yang mempunyai kedudukan dan ketiga orang yang dipercayai. Masalahnya jarang-jarang sekali kombinasi ini dapat kita perolehi apatah lagi mempunyai ketiga-tiganya. Pengalaman kecil saya sebelum ini saya pernah mempunyai rakan kongsi dari ketiga-tiganya. Mungkin perihal ini saya ceritakan kemudian di tajuk yang lain.

Berbalik kepada mama dan papa, saya terus ke tempat mereka di meja yang berhadapan dengan kaunter menjual teh tarik. Saya kemudian memesan, teh ais dan terdapat seorang wanita tua meminta sesuatu kepada saya. Saya sangkakan beliau mahukan juga teh, lalu saya juga memesan teh tarik untuk beliau. Beliau menolak pelawaan teh tersebut walaupun sudah dibeli. Saya rasakan mungkin beliau hanya inginkan wang lalu saya sedekahkan kepadanya, sedekah pertama saya di awal Syawal. Teh tersebut saya berikan kepada mama.

Dimeja bersama mama sepasang suami isteri. Saya rasakan mereka pastinya jemaah Malaysia. Si suami orangnya manis, setiap butir perkataan dikuntum penuh senyuman. Namanya Tazza. Saya tak pasti itu adalah nama betul beliau ataupon sekadar nama panggilan. Saya berseloroh dengan beliau kalau di Saudi ada franchise besar namanya Taza atau bahasa Arab sebutannya Tazij. Nampaknya guarauan saya kurang mengena. Beliau hanya senyum dan saya faham yang beliau tidak dapat mengerti apa yang saya cuba guraukan.

Katanya orang KL. Pejabat di Pavilion dan berniaga di dalam industry komoditi. Pada mulanya saya fahamkan bahawa beliau menjalankan perdagangan minyak sawit. Saya tersalah kerana diakhir perbualan baru saya menangkap bahawa perniagaannya berkisar industri petroleum. Mungkin balik ke Malaysia kami dapat sambung perbualan kami kerana papa sudah mahu kami bersamanya ke masuk ke dalam Masjid.

Kami pon mengucapkan selamat dan meninggalkan meja tersebut. Sebelum itu saya ujar kepada papa saya perlukan baju dan ghutra untuk hari raya. Bajunya untuk pajama tidur dan ghutra nanti pastinya saya perlukan ketika bersama keluarga nanti.

Hanif lantas menarik kami ke tingkat dua ke kedai yang biasanya beliau berkunjung. Terletak berdekatan dengan tangga elektrik 45 darjah dari kanan. Saya mengenali beliau dan pastinya beliau mengenali kami semua terutamanya Hanif. Hanif seolah-olah sudah menjadi agen pemasaran kedai tersebut kerana sebelum ini pun saya diperkenalkan Hanif untuk membeli pakaian di kedai beliau. Yang pastinya kami mesti mendapatkan sedikit potongan harga. Saya mengambil dua helai baju tidur berbelang kelabu dan satu lagi berbelang hitam putih, ghutra atau serban putih. Semasa hendak turun ke bawah saya teringat saya belum dapatkan kopiah dan saya berpatah balik ke kedai beliau. Dengan senyum kambing saya mengharapkan potongan harga lagi tetapi beliau dengan spontan mengambil sehelai lagi dan masukkan ke dalam beg saya. Beliau berkenyit mata tanda bahawa ia hadiah Aidil Fitri untuk saya.

Kami terus berlalu dan menuju ke tingkat bawah dan keluar menapak menuju ke Masjidil Haram. Pintu di sebelah hadapan menara Safwa kini dibuka dan kami terus melalui pintu tersebut. Diluar pintu tersergam, bangunan marmar keputihan, Masjid yang menjadi tempat seluruh umat Islam bermadu cinta dengan Yang Esa.

Travelog Aidil Fitri – Episod 1

Marie Ghani dan Abdul Rahman yang saya panggil mereka dengan panggilan papa dan mama. Pertemuan singkat beberapa bulan lalu terus terlekat dengan panggilan tersebut, tanda kasih dan kemesraan.

Kami sememangnya bercadang untuk berangkat ke Mekah jam 4.00 petang tetapi kami tergelincir 10 minit. Perjalanan ke Mekah sememangnya sentiasa mengujakan sesiapa sahaja khususnya bagi bukan penduduk di situ. Ini bukan perjalanan saya kali ke pertama ke sana, sudah berbilang bilang kali tetapi perasaannya tetap sama.

Bukit bukau berbatu bata tetap mempesonakan, suatu pemandangan yang tidak asing di bumi Negara Teluk ini. Sekali sekala kita dapat melihat padang pasir dan gerombolan kambing yang datangnya entah dari mana. Juga seperti biasa apabila melalui pintu gerbang masuk ke sempadan Mekah, saya pasti akan tergesa-gesa untuk mengambil gambar pintu gerbang yang berbentuk rehal yang diatasnya itu sebuah al-Quran. Sepanjang perjalanan papa memainkan CD lagu-lagu raya sambil Hanif di sebelah saya terikut-ikut sama bernyanyi. Papa dengan gayanya hanya diam tetapi saya jelas mendengar jari-jemarinya mengetuk-ngetuk stereng kereta tanda mengikut rentak lagu.

Kami sampai di Kudai dan seterusnya mencari-cari jalan ke hotel. Hotel yang kami akan singgah di sana sudah menunggu rakan-rakan yang lain, Anuar, Mostafa dan Falah semuanya berketurunan Melayu Pattani.

 

Setelah mengangkat beg dan masing-masing sudah mendapat bilik, saya hanya  setia dengan telefon bimbit membaca komen-komen facebook dan kemudiannya cuba menghabiskan level game. Sekurang-kurangnya dapat melarikan perhatian dan perasaan lapar saya dek kerana semalamnya hanya bersantap sekali sahaja dan tidak bersahur. Hanif seperti biasa akan bising dengan jenakanya sambil bergurau dengan Anuar. Mereka berdua ini nampaknya tidak boleh bersama pasti ada isu yang akan menjadi gurauan.

Ketika menunggu waktu-waktu berbuka TV sedang memainkan rancangan Khawater, sebuah rancangan yang hanya ada di waktu Ramadhan, lebih kurang sebuah rancangan seumpama Jejak Rasul di Malaysia. Sebelum ini saya hanya menonton di Youtube dan ini adalah kali pertama saya menonton secara langsung. Jelas ia adalah episod terakhir tandanya Ramadhan juga sudah akan berakhir. Episod kali ini lebih kepada gabungan episod-episod yang lalu yang mengalami waktu-waktu lucu ketika pengambaran. Saya berasa lega kerana saya masih mampu ketawa, satunya dek kerana saya dalam keadaan yang sangat lapar dan keduanya kerana saya dapat memahami Arab yang diperbualkan.

 

Mostafa baru pulang dengan beberapa bungkus makanan yang saya kurang pasti apa di dalamnya. Ketika itu jugalah nafsu membuak-buak inginkan mendy, inginkan madghoot, inginkan saleek dan pastinya saya teringatkan sambosar yang dibuat oleh Makjang, satu-satunya sambosar yang masih kekal tempat pertama antara sambosar paling enak pernah saya santap.

Dalam beberapa ketika azan pun berbunyi dan kami semua pon berkumpul di atas lantai di antara susunan katil-katil di dalam bilik hotel. Mama membacakan doa sedangkan yang lain-lain terus makan begitu saja. Saya amati jelas orang berbudaya Melayu penuh dengan doa-doa sedangkan orang Mekah pula menjadikannya semua mudah walaupun mereka juga berketurunan Melayu.

Kelihatan  sambosar, sardin yang awalnya dimasak oleh saya kemudian telah di’alter’ oleh Hanif, nasi impit, roti, geshta dan kelihatan sesuatu yang baru yang belum pernah saya lihat, bentuknya seolah olah dim sum tetapi lebih besar sebesar kuih bahulu. Anuar memberitahu mama katanya namanya ‘mantu’. Sejenis makanan orang Uzbekistan yang merupakan sejenis pastri berinti daging cincang dan di stim panas. Rasanya memang sedap.

Cerita Anuar lagi kepada kami orang asal Mekah ini makanannya hanyalah roti, laban, madu dan daging. Tiada apa yang menarik melainkan orang-orang luar seperti Arab Yemen, orang Mesir, orang Lubnan, orang Melayu yang mempelbagaikan makanan dan menjadikannya makanan fusion dan seterusnya bertukar menjadi makanan tempatan Mekah.

Terpanggil saya dengan keadaan diversiti di Malaysia. Baik makanan dan budaya. Cuma bezanya di Mekah dan Arab Saudi tiada istilah bumiputera kerana mereka itu hidupnya samarata, tetapi mereka mengamalkan kesamarataan budaya kebangsaan, satu budaya,satu bahasa, satu sistem pendidikan. Kalau adapun yang bertutur di dalam bahasa yang lain hanyalah di rumah sahaja. Tetapi tiada sekolah Melayu, tiada sekolah Urdu ataupun sekolah Turki yang mendapat pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi. Berlainan di Malaysia yang inginkan kesamarataan tetapi pelbagai bahasa yang di’rasmikan’ pelbagai perundangan untuk pelbagai kaum, pelbagai sekolah vernakular dan lain-lain lagi. Di dalam kesamarataan di Arab Saudi tiada juga kesamarataan kerana mereka itu negara monarki sepenuhnya.

Iftar pada hari tersebut sungguh indah, walaupun bukan dengan ahli keluarga saya tetapi mereka bagaikan sebuah keluarga baru dan terasa kenikmatan akhir Ramadhan.

 

Setelah berehat seketika, kami pon menghamparkan sejadah dan bersolat berjemaah di tempat yang sama kami berbuka puasa tadi. Mama pula pulang kebiliknya.

Soalan yang terpacul daripada mulut saya, betulkah esok adalah hari raya?  Kalau di Malaysia kita ada Majlis Penyimpan Mohor-Mohor Raja untuk mengishtiharkan. Bagaimana pula di sini. Si Anuar pula asyik membaca blog dan facebook di sana sini yang mengatakan Saudi terpaksa berpuasa satu hari lagi kerana ahli falak di Riyadh tidak dapat membaca dan melihat anak bulan.

Saya merasa hairan, adakah masih perlu menggunakan kaedah tradisional sedangkan sudah tinggi ilmu di dalam penghitungan ilmu falak dengan peralatan yang serba canggih di zaman ini. Sedangkan di Malaysia kita sudah mengetahui tarikh raya tanpa perlu menunggu harinya.

Ya tiada apa yang mustahil di Arab Saudi.

Dalam masa yang sama SMS bertalu talu masuk seolah tiada penyudahan, semuanya mengucapkan Selamat Hari Raya dan satu persatu saya menjawabnya. Tiba-tiba Hanif menjerit jerit memanggil semua orang ke tingkap untuk melihat menara jam Makkah. Pucuk menara yang berbentuk anak bulan itu bercahaya hijau. Jarang sekali pucuk menara berbentuk tunjuk langit dan dihujungnya itu terletaknya anak bulan dipasang lampu sedemikian, hanya ketika bulan Ramadhan sahaja. Tetapi kali ini agak berlainan. Dihujung anak bulan pula terpancar sinaran laser putih memancar sekeliling tunjuk langit tersebut menerangi langit yang gelap. Bentuknya seolah olah yang selalu saya lihat di Malaysia untuk menggambarkan cahaya dewi Quan Yin. Mungkin tidak sesuai metafora yang ingin digambarkan tetapi itulah perumpamaan yang paling dekat boleh saya sebut. Cahaya tersebut berpusing pusing sekeliling daripada anak bulan seolah olah menari-nari. Sangat indah sekali.

Saya kembali ke tempat duduk asal untuk melayan facebook, tiba-tiba kali kedua Hanif memanggil kami untuk menatap menara tersebut. Rasanya persembahan ini tidak berhenti setakat itu sahaja. Selepas sinaran laser putih, seluruh pucuk menara itu bergemerlapan dengan lampu lampu halus seolah olah menara tersebut diselubungi dengan kelkatu bintang. Ia berlangsung hampir sepuluh minit. Kali ini saya terpaku di jendela bersama Hanif sambil cuba merakamkan detik-detik tersebut. Si Anuar dan yang lain-lain asyik menonton rancangan drama TV kegemaran mereka, mungkin lampu-lampu tersebut tidak cukup menarik berbanding drama finale yang sedang mereka tonton. Mungkin ini adalah ‘Demi Dia’ di TV3 versi Arab Saudi rasanya.

Akhir sekali, suatu sinaran halus berwarna hijau membelah langit menusuk terus dengan garis lurus ke atas daripada puncak menara tersebut. Belahan sinar tersebut tidak dapat kami jumpa penghujungnya. Metaforanya seolah-olah sinaran hijau terus ke Sidratul Muntaha, atau lebih lucunya seolah-olah ada makhluk asing yang akan mendarat ke Mekah ketika itu. Itulah tanda petanda mengishtiharkan Eid Al Fitr, atau hari raya di bumi Makkatul Mukaromah. Sungguh futuristik membelah zaman kemodenan, kaedah paling terkini untuk memaklumkan kepada seluruh kota Mekah bahawa tamatlah penghulu segala bulan dan esoknya hari kemenangan. Tidak semena-mena berbunyi dentuman kuat beberapa kali, bunyinya teratur satu persatu seperti bunyi yang dapat saya dengar di Istana ketika Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Tuanku. Saya bertanya  kepada Anuar, bunyi apakah itu. Katanya itulah bunyi das meriam petanda akhirnya Ramadhan. Mungkin tradisi ini diamalkan semenjak zaman pemerintahan Khalifah dan Shariff dan ia diteruskan oleh pemerintahan Al Saud hinggalah ke hari ini. Sememangnya tradisi sungguh indah dikekalkan.

 ImageImage