Tetamu Pembawa Berkat

Aku dari kecil memang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana.

Tetapi di dalam bersederhana satu perkara yang aku sedari apabila kami bakal menerima tetamu ayah dan ibu aku akan bertungkus-lumus untuk membuat persiapan. Dalam hal menerima tetamu kami jarang bersederhana. Ayah akan beli bahan-bahan masakan yang luar dari kebiasaan harian dan ibuku akan memasak masakan-masakan istimewa.

Antara banyak-banyak tetamu yang kami terima, tetamu yang paling istimewa pastilah keluarga kami dari Arab Saudi yang sekurang-kurangnya akan pulang ke sini setahun sekali. Ayah mempunyai kekandanya seorang yang bermustatin di Mekah dan seluruh keluarganya adalah rakyat Arab Saudi.

Ketika inilah ibu akan memasak masakan-masakan istimewa dan yang tidak lupa adalah “sup kontong” yang kata ibu hanya keturunan waksa sahaja yang tahu masakan ini. Setiap menantu yang berkahwin dengan keturunan waksa mestilah belajar memasak sup kontong ini.

Begitulah keadaan keluarga kami apabila menerima tetamu. Bagaikan sebuah fiesta di rumah.

Ada kalanya kami menerima tetamu yang tidak dijangka. Ibu seperti biasa akan bergegas ke dapur dan mengeluarkan apa sahaja yang ada untuk dihidangkan.

Sikap ini terbawa-bawa kepada seluruh adik beradik kami. Aku ingat sekiranya aku hendak berkunjung ke rumah kakak atau abangku begitulah mereka akan bersusah payah menyediakan makanan istimewa, begitulah juga sekiranya mereka berkunjung ke rumah aku. Mungkin dalam hal ini banyaknya aku yang berkunjung ke rumah kakak dan abang aku.

Tetapi untuk rumah aku, walaupun aku hanya kategorikan sebagai rumah bujang, sekiranya adanya rakan-rakan yang berkunjung perkara samalah juga berlaku di rumah aku. Aku akan bergegas membeli bahan makanan dan minuman dan pastikan peti sejuk di rumah penuh dengan bahan. Cadar dan sarung bantal akan aku tukar dan sekiranya sempat aku akan mopkan lantai dan cuci apa apa yang patut sebelum tetamu sampai ke rumah.

Dahulunya aku tinggal di Pulau Pinang, maka rumah lama aku di Scotland road dan kemudian di Bukit Gambir akan menjadi tempat persinggahan rakan-rakan dari jauh khususnya dari KL. Kalau musim cuti sememangnya rumah aku dah jadi macam hotel gamaknya. Check in dan check out.

Kini aku di KL pula dan perkara sama juga berlaku, rakan-rakan dari Pulau Pinang, Kelantan, Ipoh akan berkunjung dan kadang-kadang bermalam di rumah. Tidak kurang juga rakan-rakan dari Mekah dan Kaherah juga akan bermalam di rumah aku. Aku akan memarahi mereka sekiranya mereka tinggal di hotel. Buang duit kata aku.

Sememangnya aku suka menerima tetamu. Ya keluarga kami sememangnya suka menerima tetamu. Kata mak ‘tetamu pembawa berkat’.

Minggu ini aku menerima tetamu yang aku kenal di Jeddah 2 tahun yang lalu. Namanya Ali Al Saggaf. Ini adalah kali pertama aku benar-benar melayan beliau dari hari pertama beliau sampai ke Kuala Lumpur. Sudah seminggu beliau di sini.

Memang perangai orang Arab sukakan berjaga malam dan tidur siang. Tetapi masalahnya Ali Al Saggaf ini bukan saja suka berjaga malam….malah siang pon dia berjaga. Hanya waktu petang selepas Asar beliau akan tidur sebentar dan bangun semula.

Memang penat sungguh melayan Al Saggaf ini. Tidur aku minggu ini tidak tentu arah. Mata pon dah berubah jadi panda. Wang pun banyak yang habis kerana hari-hari makan di Concorde, dek kerana Al Saggaf ini sukakan buffet di Melting Pot di Concorde hotel. Bayangkan sekali makan tiga empat ratus akan habis….berapa yang sudah aku habiskan untuk minggu ini.

Apa yang paling menarik pasal Al Saggaf ini beliau sangat cintakan asal usulnya dan berbangga dengan keturunan Al Saggaf beliau. Sampai hari ini beliau masih berkeras mengatakan Dr. Mahathir adalah dari Al Sharif bukan mamak. Aku juga dia katakan Al Sharif….bukan Melayu. Katanya kebiasaan Al Sharif orangnya cantik-cantik. Aku iakan saja semuanya.

Yang pasti itu adalah kebiasaan aku dan kebiasaan keluarga aku. Kami akan layan tetamu kami yang terbaik. Aku akan rasa gembira apabila dapat melakukan yang terbaik untuk tetamu.

Berbalik kepada tetamu Al Saggaf ini, tetamu bukan sahaja pembawa berkat……..

semalam dia berkata kepada aku, “we will start with 3 containers”…..

Sebenarnya tetamu juga pembawa rezeki.

Hari Inspirasi

tunku nerang

Lepas solat Jumaat……bunyi mesej masuk.

“Salam Jumaat”

“Coming for IDEAS 4th anniversary tomorrow? 930 Memorial Tunku Abdul Rahman”

Itu antara bunyi bbm dari Tunku Zain. Esok?! Aku ingatkan aku sudah terlepas majlis ini. Sudah dua tahun berturut-turut aku ikuti majlis ini kecuali tahun lepas.

“Oh, I did not get any invitation yet” jawab aku.

“Sorry thot u were on our mailing list. I am inviting you  now”.

Itu kejadian semalam yang menyebabkan aku bangun awal pagi hari ini. Jarang sekali aku bangun pagi hari Sabtu. Selalunya tilam empuk akan menjadi peneman sehingga jam sembilan hingga sepuluh pagi.

Hari ini adalah hari ke 111 hari kelahiran Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Bapa Kemerdekaan kita.

Aku yakin semua rakyat Malaysia mengenali Tunku Abdul Rahman Putra, tetapi aku kurang yakin yang kita semua mengenali Al Marhum Tunku.

Mengenali aspirasi beliau serta memahami sejarah perjuangan Tunku serta pembentukan Malaysia.

Aku ingin salahkan sistem pendidikan kita. Buku teks yang aku baca dahulu langsung tidak menyentuh aspirasi Almarhum Tunku. Langsung tidak menyebut apakah yang dilakukan oleh Tunku sehingga kita merdeka, langsung tidak menyebut kualiti peribadi serta riwayat kisah hidup Tunku. Di sekolah aku kenal Tunku hanya sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Aku kenal Tunku ketika di rumah apabila orang tuaku bercakap mengenai hubungan dingin Tunku dan Dr. Mahathir, tetapi aku tidak tahu kenapa.

Bonda aku juga sering ceritakan kisah-kisah hubungan Tunku dan keluarga kami kerana ketika Tunku berkunjung ke Bagan (Butterworth) kereta Tok Besar, moyangnda kami akan menjadi kenderaan Tunku. Zaman dahulu kita masih belum mempunyai kenderaan kerajaan yang banyak seperti hari ini.

Kalau ke Tanjong, kereta keluarga Becker pula mengambil tempat.

Bonda juga ceritakan di rumah Tok Besarlah Tunku, Tok Mat Badui (Ahmad Badawi) dan Tok Besar membuat kiraan falak untuk tarikh kemerdekaan Tanah Melayu. Bukan di rumah lama Paklah seperti yang diceritakan, rumah Paklah kecil sahaja. Rumah agam Tok Besarlah menjadi peristiwa bersejarah ini.

Bonda juga menceritakan yang Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Tuanku Abdul Halim menjadi Yang Di Pertuan Agong. Kata bonda ‘tak sedaplah pak menakan dok angkat sembah kat anak menakan pulak’. Mungkin ada relevennya.

Aku benar-benar mengenali Tunku hanya setelah aku tamat pengajian…..luar dari sekolah dan universiti. Dari itu jugaklah aku kenal Tunku Nerang dan Tunku Khadijah…..juga aku kenal Tunku Faridah di Pulau Pinang.

Tadi semasa di majlis memperingati Almarhum Tunku, Tan Sri Ramon Navaratnam ada menyebut Tunku was the happiest Prime Minister. Beliau mengatakan Tunku adalah seorang visionary yang berjaya membawa Malaysia kepada penyatuan sebagai sebuah Bangsa Malaysia. Beliau adalah seorang Melayu, seorang Putera Raja yang telah berjaya membawa Malaysia kepada suatu penyatuan tanpa berasaskan bangsa dan melihat segalanya dalam bentuk kolektif dan adil. Tunku disayangi oleh semua lapisan masyarakat. Tunku liberal awal dari masanya.

Aku sempat bersapa dengan Tunku Khadijah dan Tunku Nerang, kali ini aku bawakan buku Memorial Tunku, ‘Prince of Peace’ dan kedua anakanda Tunku sempat menurunkan tanda tangan mereka pada buku tersebut. Mungkin pulang ke Pulau Pinang nanti aku akan luangkan masa bersama Tunku Faridah di kediaman lama Tunku di sana.

Majlis berlanjut hingga jam 1 lebih. Belum sempat majlis tamat dengan makan tengah hari aku terus bergegas ke Istana Budaya dan kemudian ke Balai Seni Lukis Negara untuk melihat hasil karya Ken Yang dan aku akhiri hari siang aku bersama artis Zul di Pelita KLCC untuk projek seni aku di Alor Setar,

‘Inspirasi Malaysia’ dan ini adalah sumbangan aku untuk negeriku dan Tunku kita semua.

Bercakap tadi aku hempukkan semua kesalahan kepada sistem pendidikan, sebenarnya yang perlu dipersalahkan adalah diri kita semua. Kita tidak mahu mengenali Tunku…tetapi sebenarnya kita juga kadang-kadang langsung tidak mengenali diri kita sendiri.

Mr Kwan otromen – Vol 1

Kali pertama aku berkenalan dengan Mr. Kwan semasa di program MIHAS. Seingat aku mungkin sekitar tahun 2008.

Ketika itu aku baru mula-mula berjinak untuk memasuki bidang pembuatan makanan. Aku jual frozen cheese cake. Tahun itu adalah tahun aku bertatih-tatih untuk mula mengenali bidang ini.

Orang ramai bercakap yang bidang aku lakukan adalah bidang industri makanan halal…..tapi sebenarnya apa yang aku sedang belajar bukanlah mengenai industri pembuatan makanan tetapi memahami industri peruncitan.

Aku rasakan industri ini adalah industri paling digemari oleh mana-mana usahawan baru yang mula berjinak-jinak untuk menjadi usahawan. Baik yang sukakan makanan, ubat tradisional, supplement, kosmetik dan banyak lagi. Masing-masing mengatakan mereka dari industri itu dan ini…….tetapi sebenarnya perkenalan bersama Mr. Kwan beliau memperkenalkan aku bahawa industri yang lebih tepat adalah industri PERUNCITAN.

Mr.Kwan mempunyai rupa paras seorang yang sedikit gempal tetapi tidak gemuk. Bentuk badan menunjukkan beliau sekitar umur pertengahan 40an. Matanya sangat sepet hinggakan apabila beliau bertutur dengan penuh perasaan beliau seperti bercakap sambil memejamkan matanya. Mr. Kwan mempunyai karektor seorang berbangsa Cina yang orang utara memanggil Cina Sayur. Kenapa dipanggil sedimikian aku pun tak tahu. Tapi itulah yang aku dengar orang sebut dari kecil lagi. Apabila bercakap suaranya sangat kuat, siapa saja disebelah akan dapat dengar perbualan dengan beliau. 

Beliau pandai berjenaka dan suka makan. Apabila kami keluar untuk minum-minum petang beliau akan marah sekiranya aku hanya pesan satu jenis makanan sahaja. “Hayya itu pasai la lu manyak kuluih…..makan macam ah moi mah…apa lu liet ah?” Itu kata-kata beliau setiap kali aku hanya pesan minuman tanpa sebarang makanan ringan. Sekiranya aku pesan benda yang kecil-kecil beliau akan marah lagi.

Perkenalan pertama kali semasa di MIHAS membuatkan kami menjadi kawan yang rapat sehingga hari ini.

Aku masih ingat semasa pertama kali kami berkenalan…..dengan nada kuat dan pelat Cina beliau berkata…”hello boy give me your card…..waaaa you umor berapa? manyak muda haaa kuat kerja juga”….itu kata-kata pertama beliau. Kemudian kami terus berbual-bual dan sekejap sahaja kami menjadi mesra.

Selepas itu beliau kembali bersama rakan sekerjanya dan rakan-rakannya yang lain dan hanya dalam masa satu hari aku berkenalan enam hingga tujuh orang rakan-rakan beliau yang sebenarnya mengajar aku mengenali dengan sebenarnya satu dunia yang aku sudah kenal, tetapi kali ini dari pandangan yang lain….dunia itu adalah………’dunia peruncitan’.

Dunia peruncitan dan realiti di Malaysia.

Azam Baru

Kami duduk dihujung meja, aku letakkan kertas A4 kemas-kemas, kawanku membuka diari barunya.

Dimeja ini jugaklah kami berkumpul tahun lepas, meja kayu yang bentuknya sangat simple, clean cut dan modern. Meja ini banyak menyaksikan peristiwa suka duka. Walaupun meja ini penuh dengan tompok-tompok bekas air dari cawan tetapi bentuknya masih elegant 70s.

Meja ini sebenarnya mempunyai kisah yang paling lucu bersama kawan aku dan kami akan ketawa terbahak-bahak apabila bercakap pasal kisah lucu itu tersebut.

Meja ini aku terima hadiah pemberian seorang rakan sekitar awal tahun masuknya milenia, namanya Mr. Mark. Orang mat saleh dari New Zealand tapi pada ketika itu dia menetap dia Kota Damansara. Dia sangat sukakan aku kerana melihat aku sangat sukakan ID lalu meja itu menjadi hadiah yang aku simpan hingga kehari ini. Meja ini sahaja yang tinggal kerana aku sendiri sudah tidak tahu di mana Mr. Mark itu tinggal sekarang. Mungkin sudah pulang ke negaranya.

“Ok dah ready?” kawan aku pun angguk.

Kami menulis…tak sampai seminit aku dah siap…kawan aku masih menulis……

Tahun ni aku tulis lima saja. Ringkas dan padat.

“Aku macam biasa sepuluh….sama macam tahun lepas”. Kata kawan aku.

Kemudian kami bertukar-tukar untuk melihat apa yang kami tulis…..

Kertas A4 tadi aku simpan dalam satu fail khas supaya ia tidak hilang atau rosak…..

Itu adalah cerita 2 tahun lalu, Disember 2012.  Inilah tabiat yang aku dan kawanku akan lakukan untuk azam atau kami suka panggil ‘pledges’……aku janji kami kepada diri kami sendiri untuk tahun baru.

Tahun baru yang lalu kami lakukan juga tapi bukan di meja keramat itu, kami lakukan di sebuah cafe di Pulau Pinang.

Apabila aku imbau kembali setiap kali aku membuat azam atau aku janji tersebut selalunya sasaran hampir-hampir tercapai keseluruhannya. Tahun 2013 daripada 5 aku janji aku 4 telah tertunai. Hanya hajat untuk membeli rumah tidak tercapai dan aku janji itu aku bawa ke tahun 2014.

Yang menariknya tahun itu juga aku mendapat beberapa pengiktirafan tanpa apa pun perancangan, hanya sekadar menulis sahaja. Mungkin benar kata orang kerana dengan menulis kita telah mengarahkan otak kita untuk tertumpu kepada apa yang kita tulis itu. Benda ini berlaku saban tahun. Sekiranya aku inginkan sesuatu aku hanya nyatakan keinginan jarang-jarang sekali hajat aku akan tertunai berbanding dengan sekiranya aku menulis dengan baik-baik. Bagaikan dengan menulis seperti sudah ada binding agreement dengan hidup yang ia mesti ditunaikan.

The power of mind…..

Anda bagaimana?

Kisah Dr. Goh yang seksi – Misteri Orang Gomen Otromen

Hari ni aku bangun awal giler……. pukul 5 lebih. Pergh

Kira-kira aku bangun awal sebab nak mandi ambil masa 20 minit. Kemudian nak seterika baju mungkin ambil masa 5 hingga 10 minit. Sikat rambut betul itu ini, solat subuh campur tolak semua adalah makan masa satu jam.

Dari rumah aku ke Tanjong, nama panggilan untuk orang tempatan kepada Georgetown mungkin ambil masa setengah jam kerana pagi-pagi semuanya akan bergegas untuk ke pejabat.

Aku pakai baju biru muda, suit hitam. Tali leher pun aku sedondonkan biru muda tapi dalam tona lain. Orang tengok mesti dia kata biru PKR habis!

Sampai saja di Tanjung aku ke Beach Street untuk beli nasi lemak dan sarapan di situ.

Makan penting…..kalau tak makan nanti lapar. Kalau lapar otak tak seimbang, akan senget sana senget sini. Apa akan jadi bila otak senget? Hormon aku akan jadi tak seimbang juga. Akhirnya aku akan sebut saja apa yang hendak aku sebut tanpa ada tapis-tapis lagi.

Meeting kali ini aku kena buat betul-betul. Ini peringkat terakhir….saringan terakhir. Date line dah dekat. Kalau tidak boleh ishtihar darurat gamaknya.

Lepas sarapan aku terus ke bangunan putih di Padang Kota Lama. Bangunan ini memang bangunan kegemaran aku. Dalam hati aku berbisik…..nanti aku nak buat rumah sebijik macam mana….tinggi sungguh angan-angan!

Aku ingatkan aku orang yang pertama yang sampai. Nampaknya ramai sudah yang sampai. Semuanya dalam lingkungan umur 50 an. Pangkat pangkat uncle dan untie lah nampaknya.

Tepat jam lapan pagi semua dah mula masuk ke dalam dewan. Seorang pegawai datang kepada aku,Tuan nak bentang untuk apa ya.

Aku jawab “ah ni untuk team TKM”…. “oh ya ya sat lagi kami panggil nah”. Aku angguk dan duduk.

Sekali lagi aku memandang siling bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang ini dari dalam. Tinggi sungguh. Mungkin melebihi 20 kaki. Rumah aku pon nak buat macam ni lah……aku tersenyum sorang-sorang.

Lewat sedikit baru Zam datang, beliau dari team jawatankuasa untuk program Souq Ramadan. “Eh aku lambat ka?” Tanya dia termengah-mengah.

Zam adalah kontraktor elektrik, merangkap siar raya merangkap sukarela dan macam-macam lagi lah, bahasa yang mudah beliau sebenarnya membantu saya sambil-sambil tu buat lah duit sikit.

Lama juga kami tunggu. Mungkin dua jam lebih.

Kalaulah aku tahu lambat begini tak perlulah aku bangun awal-awal pagi.

Setelah seketika selepas aku bangun dan duduk dan mundar mandir entah berapa kali kerana sudah lenguh menunggu, seorang pegawai wanita keluar dan memanggil. “Tuan, paper dah nak masuk, naik duduk dekat tempat kosong tepi tu nah”.

Ini adalah kali pertama aku masuk bilik dewan bersidang atau sebenarnya bilik mesyuarat untuk Ahli Majlis MPPP.

Warnanya didominasi warna kayu gelap dan dewan ini agak besar. Ada gaya seperti Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Lebih tepat suasana seperti Dewan Parlimen di Britain yang kita lihat dalam filem-filem Inggeris, tidak pun dalam filem The Iron Lady.

Kerusinya bertingkat-tingkat mencerun ke bawah dan dibawah sekali lebih kurang tempat Tuan Pengerusi. Kali ini aku lihat Yang Dipertua MPPP tak ada, dewan pun mungkin 50 peratus lebih sedikit sahaja penuh.

Entah apa yang mereka bahaskan dan bincangkan aku tak faham hujung pangkal.

Disebelah kiri aku Zam duduk dan disebelah kanan aku sudah ada Puan Rafiah, Dr Goh dan beberapa  lagi pegawai kanan MPPP.

Pengerusi aku nampak mulut berkumat kamit memperkatakan sesuatu dan kemudian semua tertumpu kepada aku. Aku pun terus membentangkan slide presentation yang sememangnya sudah tersedia. Semua Ahli Majlis nampak mata mereka tertumpu ke slide dan sekali-sekala ke muka aku.

Slide terakhir pon keluar. Kerja aku selesai.

Kemudian diantara Ahli-ahli Majlis itu mereka bersoal jawab. Pening aku mendengar. Ibarat seperti bola ping pong masing-masing tidak mahu terima bola dan baling kepada orang lain.

Ayat terakhir keluar dari mulut salah seorang Ahli Majlis di situ. Beliau satu-satunya Ahli Majlis perempuan.”Nampak gaya kita tak dapat kata putus hari ini, banyak lagi paper nak masuk, kita tangguhkan usul ni kepada mesyuarat hadapan”. Next….

Hah! Mesyuarat hadapan!

Bukankah mesyuarat Ahli Majlis hanya sebulan sekali……alamak macam mana ni.

Tiba-tiba Dr Goh yang tadi tidak banyak bercakap terus menarik mikrofon,”Ahli-ahli Majlis, Tuan tuan sekalian…..untuk makluman semua, program ini adalah program peringkat negeri untuk pasar Ramadhan sempena bulan Ramadhan, sekiranya kita tidak dapat membuat keputusan hari ini, maka program ini akan terpaksa ditangguhkan, errr memandangkan bulan Ramadhan hanya tinggal lagi 7 hari sahajee, memandangkan kita tidak membuat keputusan pada hari, saya ingin cadangkan kepada Ahli Majlis untuk kita menangguhkan bulan Ramadhan pada bulan yang lain”

Dengan muka selamber dan penuh pelat Cina Tanjong Dr Goh mengulas dengan penuh seksi.

Aku keras membatu tak memberi riaksi tetapi Puan Rafiah bergoyang-goyang badannya kerana menahan gelak.

Dewan Ahli Majlis semua tergamam……..

Misteri Air Kosong

Cerita 1.

Aku heranlah kenapalah dengan si Timah ni. Semua aku buat tak kena. Kenapa lah dia tak suka sangat dengan aku.

Macam macam aku dah buat,cuba beli hadiah lah, senyum lah, buat baiklah lah….macam-macam lah…..tapi semuanya tak kena di mata dia.

Kenapa dia tak suka sangat dengan aku?…….

 

Cerita 2.

Eh….Abu like page si Leman la…..wah dia like lagi.

Kenapa aku tulis apa dia tak pernah like pun. Dah tak nak kawan dengan aku ke?

Dulu-dulu kalau nak datang Ipoh mesti dia cari aku. Nak pinjam duit mesti cari aku. Kadang-kadang aku pun sendiri nak pakai duit tapi aku ingatkan dia ni kawan baik aku aku bagi jugak.

Sekarang dah ada Leman aku pun dia dah tak ingat. Asyik aku jeeeer teringat kat dia dia langsung buat macam aku tak ada pun. #sedih

 

Cerita 3.

Senah memandang jauh ke hujung tingkap. Teringatkan Amran bekas kekasihnya yang lama tu. Bukannya jauh pun rumah dia seberang jalan saja.

Senah tau Amran sudah ada kekasih baru. Tapi masalahnya Senah asyik teringatkan kisah-kisah suka duka bersama Amran dulu.

Kalau dulu-dulu petang-petang mesti Amran akan mesej-mesej tapi sekarang yang masuk mesej si Leha saja…..huh……bosannya.

Kring….hah masuk lagi mesej si Leha ni takda orang lain ke……

*   *   *   *   *

Kita selalu memfokuskan hidup kepada perkara yang tidak perlu. Kita fokuskan supaya orang ‘impress’ dengan kita, kita fokuskan kepada orang yang benci dengan kita, kita fokuskan kepada orang yang lupakan kita, kita fokuskan kepada yang tiada.

Kenapa kita selalu fokuskan kepada sesuatu yang tidak ada? Sedarkah kita bahawa sebenarnya hanya satu yang tiada tetapi masih banyak lagi yang ada.

Atau mungkin kita banyak yang tiada tetapi kita masih ada yang satu dengan kita.

Yang lebih baik dan produktif adalah fokuskan apa yang ada dengan kita supaya kita bertambah gembira dan mendapat nikmat darinya.

Bak kata pepatah Mat Saleh, diantara half cup full dan half cup empty…….yang mana satu pilihan kita. 

Kiranya half cup empty yang kita pilih……suramlah hidup kita ini.

Kita lupakan Timah, kita lupakan Abu, kita lupakan Amran……….mereka tak ingatkan kita dan lupakan kita. Kita tidak ada harga di mata mereka.

Yang penting kita ada Leha, kita ada keluarga, kita ada ibu bapa……merekalah yang sepatutnya kita tumpukan kerana mereka sentiasa ingatkan kita, kita adalah prioritas didalam hidup mereka. Mereka sayangkan kita.

Kalaupun kita tak ada semua itu, kita tetap ada diri kita dan yang paling penting Allah sayangkan kita.

Focus on your half cup full rather then the half cup empty…….

Masalah Masa Depan Kita – Vol 1

Aku perhatikan satu-satu wajah mereka.

Ada yang nampak bersih, tak ada satu pun cacat cela. Kulit nampak halus hinggakan satu biji jerawat pun tak berani untuk timbul. Bersihnya kulit dia sampai menampakkan gaya-gaya yang dia sesuai untuk menjadi calon imam muda. Pasti menang dek kerana wajahnya yang bersih itu. Tetapi ketika peristiwa ini berlaku imam muda pun masih belum muncul.

Seorang lagi mukanya penuh berminyak. Tetapi tiada jerawat. Gayanya seperti kasanova. Mungkin awek keliling pinggang. Rambut disikat rapi dan rapat ala-ala gaya tahun 50-an. Kebetulan rambutnya lurus menyebabkan sikatan rambutnya memang nampak sangat kemas.

Seorang lagi kelihatan timbul jerawat disana sini. Aku dapat cam parut-parut bekas jerawat. Hurmmm…mesti budak ini suka picit jerawat pakai kuku. Kalau lah nampak oleh kakak aku mungkin habis dia kena ceramah pasal penjagaan kulit.

Dua orang kawan mereka lagi seorang muka berminyak dan seorang nampak kurus berkulit agak gelap. Dari matanya yang luas anak mamak rasanya.

Apapun mereka semua nampak bersih. Bukan pakaian sahaja….maksud aku hati mereka.

Orang kata budak-budak belum akil baligh bersih dari segala dosa, tetapi mereka ini mana mungkin belum akil baligh kalau sudah bersekolah tingkatan empat, jerawat sudah tumbuh dan suara sudah tidak bunyi anak-anak lagi.

Yang pasti mereka masih bersih di mata aku. Masih ada masa untuk mencorakkan mereka. Masih ada harapan.

Semuanya duduk ramai-ramai di sebelah stor burger di Flat apakah namanya berdekatan USM. Aku kenal salah seorang dari mereka kerana beliau pernah bekerja dengan kawan aku yang menjual ayam goreng ketika konvokesyen di USM.

Bang nak beli burger jugak ka? Aku angguk….

Ni kamarul buat apa sini? Tanya aku.

“Saja lepak lepak bang. Awai lagi…..” Jawab Kamarul budak yang muka bersih tadi.

“Awai apa lagi ni nak pukul 12 lebih dah. Esok tak sekolah ka? Pi balik nuh” Aku jawab dengan bunyi nada dah tak macam abang-abang lagi….pakcik umur 50an mungkin.

“Kami sekolah petang bang…..lagipun Kamarul tak suka balik la ni….takda tempat. Tunggu ayah mangkit pukul empat sat lagi dia nak pi kerja kilang Kamarul balik la……”

“Awat jadi lagu tu?” aku tanya kehairanan.

“Nak tidok macam mana bang….bilik ada dua saja….ayah mak satu bilik…..bilik lagi satu kakak dengan adik…..pastu kat luar adik kamal hat laki tu….Kamarul tunggu ayah keluar baru lah boleh tidur dalam bilik dekat katil mak.”

Aku tergamam……………..

Inilah hasilnya masyarakat yang kita bina dengan pelaburan rumah yang dulu kita panggil PPRT…

NOTA: PPRT bermaksud Projek Perumahan Rakyat Termiskin yang kini dijenamakan semula Projek Perumahan Rakyat.