Memang adat dan adap orang Melayu itu sungguh halus. Kekadang adat dan adap Melayu itu sukar untuk difahami malah sering diingkari oleh bangsa-bangsa lain sehinggakan ia menyebabkan berlaku terguris perasaan malah boleh dianggap sebagai kurang ajar atau yang halusnya dikata kurang beradap. Malah bagi yang menjunjung adap dan adat Melayu itu juga kadang-kadang terpaksa menanggung bebanan dek kerana galur-galur adap dan adat itu sendiri.
Begitu juga bermanis mulut adalah sebahagian daripada adat dan adap. Bagi yang bermanis mulut itu kerana beradap dan yang menerimanya juga harus beradap. Kalau dalam situasi sedang menjamah makan, maka si fulan itu akan beradap dengan bermanis mulut menjemput si rakan lain untuk makan bersama-sama. Tapi bagi si rakan pula dengan beradap akan menolak dengan baik dan mengucapkan terima kasih sekiranya dilihat yang dijamah itu cukup sekadar seorang sahaja. Tapi bagi si fulan itu kiranya beria-ia menjemput maka dengan beradap si rakan tersebut menjamah sekadar cukup untuk mengambil hati si fulan tersebut.
Tetapi sekiranya keadaan dimana makanan pula memang untuk mereka berdua maka lainlah pulak situasinya.
Tapi kadang-kadang susah juga untuk dingerti antara bermanis mulut dan realiti. Ini adalah kerana kekadang bermanis mulut itu bakal mengundang keadaan yang kurang manis.
Saya kini sedang berada diluar negara, dan perancangan tersebut telah diatur dua bulan sebelumnya. Ini bukanlah kali pertama saya ke negara tersebut malah sudah melebihi empat puluh kali. Jadi adatnya sudah pasti ramai rakan-rakan yang saya kenal di negara tersebut.
Kali ini saya berada disini agak lama memandangkan banyak urusan yang perlu diselesaikan. Saya ada menelefon seorang kawan yang memaklumkan akan ke sana untuk menyelesaikan beberapa urusan.
Beliau pula dengan beradap mempelawa saya untuk tinggal dirumah beliau. Saya juga dengan berbesar hati menerima pelawaan tersebut memandangkan baik juga tinggal di tempat orang kita, sekurang-kurangnya ada teman berbual berbanding tinggal seorang di apartment sewaan.
Jadi dengan penuh beradap apabila tiba dirumah beliau saya mencuba untuk menjadi tetamu yang faham adap dan adat Melayu. Saya bataskan pergerakan saya hanya di tempat yang secara logiknya dibenarkan dan cuba membantu kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, mengemas rumah, melayan anak-anak beliau dan kalau boleh ingin sahaja saya menjadi bibik bagi membalas jasa beliau kerana membenarkan saya tinggal dirumahnya. Jadi saya sebenarnya cuba menjadi seorang Melayu yang beradap.
Malangnya saya dapat rasakan yang kehadiran saya mungkin mengundang rasa ketidak selesaan oleh isterinya. Maka dengan penuh beradap juga saya mengambil keputusan cepat-cepat berpindah ke rumah sewaan setelah mendapat beberapa petunjuk dari isteri beliau.
Kalau dihitung, ada baiknya jangan dijemput awal-awal kerana tiada sesiapapun akan tertanggung akan kesan pelawaan tersebut.
Berkecil hati pastinya ada…..
Jadi perlukah saya salahkan adap dan adat kerana bermanis mulut itu berbahaya dan lebih baik jika berterus terang sahaja. Ada baiknya jika tidak bermanis mulut sekiranya kita tidak bersedia untuk menerima.
Apa pun kerana kita beradap dan beradatlah menjadikan kita bangsa yang bertamadun.