M.E.L.A.Y.U.

 

 

Image

Saya masih ingat kata kata rakan beberapa tahun lalu. Ketika itu kami masih didalam bilik kecik beliau di menara Petronas. Tahun tersebut merupakan tahun yang agak sibuk memandangkan kami didalam perancangan untuk menjayakan projek Glorious Malay World. Sayangnya projek tersebut merupakan projek yang bagus tetapi dek kerana melibatkan terlalu banyak ‘politik’ serta masing-masing mempunyai agenda tersendiri maka akhirnya projek tersebut terbengkalai begitu sahaja.

Kata beliau Melayu itu indah. Melayu itu bukan sekadar Melayu yang asal usulnya dari Riau. Tetapi adanya Melayu yang pelbagai. Melayu Deli, Melayu Banjar serta seluruh pelusuk Tanah Melayu. Melayu bukan sekadar takrifan perlembagaan serta telahan Kamus Dewan semata-mata.

Adanya juga Melayu Arab, Melayu Pakistan, Melayu India, Melayu Siam, Melayu Turki malah Melayu Mat Saleh. Semuanya ini dikenali sebagai Melayu.

Tidak seperti bangsa-bangsa lain yang lebih mudah untuk dikenali kerana bangsa mereka mempunyai satu kayu ukur yang mudah bagi mendefinisikan serta mengklasifikasikan bahawa dimana letaknya kelompok bangsa mereka berbanding Melayu. Tetapi tidak juga dikatakan bahawa Melayu itu juga bukanlah terlalu subjektif kerana masih ada galor-galor untuk meletakkan siapa dan dimana itu Melayu.

Indahnya Melayu itu kerana didalam Melayu bukan hanya ada Melayu. Didalam Melayu itu adanya Belanda, adanya British. Adanya Melayu menyebabkan adanya Cina dan India. Adanya Melayu menyebabkan adanya toleransi. Maka adanya Melayu dan sikap-sikap nya telah memberi ruang yang luas untuk dunia Malaysia berkembang luas.

Sayangnya kerana Melayu itu sering dihubung kait dengan sikap yang mazmumah maka Melayu sering dijadikan bahan senda. Lupa kita bahawa Melayu itu begitu besar tamadunnya. Lupa juga bahawa Melayu itu sangat tinggi budayanya serta penuh dengan inovasi dan kreatif seninya.

Saya faham didalam kelompok kita Melayu sering akan dikritik kerana kritik diperlukan untuk pembangunan insan dan bangsa. Tatapi elok juga diangkat cerita cerita istimewanya Melayu sebagai booster. Bak kata orang, lebih efektif kiranya diperkuatkan kelebihan yang ada disamping cuba mengatasi kelemahan. Mungkin sekarang adalah masa untuk kita sendiri membuat SWOT analysis atau kata lainya muhasabah secara menyeluruh. Tidak sekadar melihat satu bahagian sahaja.

Harapan saya dengan ruang yang begitu luas telah dibuka serta reformasi yang begitu drastik serta kadang kadang agak membimbangkan, Melayu akan berlaku suatu tranformasi yang begitu positif setelah lebih 300 tahun kita dijajah oleh bangsa asing.

Saya masih percaya bahawa Melayu tetap istimewa baik apa jua jenis Melayu yang ada. Kerana itu saya bangga bahawa saya ini anak jati Melayu dan saya pasti sekurang kurangnya didalam kehidupan yang singkat ini agar dapat jua disumbangkan sedikit untuk catatan sejarah sebagai sebahagian daripada ketamadunan bangsa Melayu yang lebih progresif, pragmatik dan beriman. Dan saya berharap lebih ramai yang akan bangun dengan perubahan yang lebih besar untuk ketamadunan Melayu; bukan survival.

Artikel ini ditulis pada Ogos 2009

Engku Husam

BENARKAH ORANG TANJUNG JAHIL BERBAHASA?

Artikel ini ditulis pada 21 Julai 2012

BENARKAH ORANG TANJUNG JAHIL BERBAHASA?

Ketika saya menulis ini saya yakin sudah ramai Dato’ Seri – Dato’ Seri dan Dato’-Dato’ baru yang bergelar dari Pulau Pinang sudah dapat biasakan diri dengan panggilan hormat tersebut. Tidak kurang juga yang baru bergelar Datin Seri serta Datin. Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah bintang dan pingat kehormat sempena Ulang Tahun Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang yang ke 74 pada 14 Julai yang telah disambut baru-baru ini.

Tidak kurang juga digemparkan didalam Utusan Malaysia 17 Julai lalu, dengan tajuk ‘DAP Calon Bekas Bapa Ayam Terima Pingat?’.

Apa yang ingin saya tulis disini bukanlah berkenaan penerima pingat, tetapi lebih kepada kaedah sambutan yang boleh dikatakan agak berala kadar. Mungkin pengamalan Kerajaan Pulau Pinang yang lebih bersifat jimat cermat sehingga menyebabkan sambutan hari istimewa ini langsung tidak dirasai oleh rakyat Pulau Pinang. Ini agak berlainan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang akan menyambut hari Ulang Tahun Yang DiPertua Negeri serta Hari Keputeraan Sultan atau Raja negeri masing-masing dengan begitu meriah sekali. Tidak terkecuali negeri Kedah dan Kelantan yang juga diperintah oleh Pakatan Rakyat, tetapi sambutan Hari Keputeraan pemerintah tertinggi dapat dirasai keseluruh pelusuk negeri.

Saya pasti ramai rakyat Pulau Pinang yang tidak mengetahui tentang wujudnya sambutan ini.

Perkara sama juga berlaku ketika keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun lalu juga disambut berala kadar dengan hanya meletakkan bunting-bunting kecil hanya dibeberapa tempat.

Tetapi ini bukanlah isu utama yang hendak diperkatakan. Isu yang lebih penting adalah dari segi pengamalan standard protokol Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta adap berbahasa yang bak diulas oleh Yang Mulia Raja Kobat, budayawan negara serta ahli kerabat DiRaja Perak ‘”Orang Tanjung” memang pekak dan buta bahasa seni kesantunan adab kebudayaan Melayu’  juga telah menambah ‘dalam ehwal budaya kesopanan santun keMelayuan, “Orang Tanjung” memang terkenal sejak dulu lagi berasas kasar bahasa.’

Perkara utama yang menjadi kemusykilan adalah hari mulia 14 Julai yang lalu disebut sebagai ‘Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2012 Sempena Hari Jadi Yang Ke 74 Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang’.

Sekali imbas seolah-olah tiada cacat celanya. Tetapi ‘hari jadi’ tersebut secara umumnya difahami seolah-oleh Yang DiPertua Negeri tiada bezanya dengan sambutan hari jadi seorang anak,yang dipakaikan topi kon kertas, ditiup belon, dihadiahkan mainan dan dipasang lilin diatas kek.

Nampaknya PLUS lebih manis berbahasa dimana sebuah kain rentang dipasangkan diatas tol jambatan Pulau Pinang yang berbunyi ‘Sambutan Ulang Tahun Yang Ke 74’. Bukankah lebih manis bunyinya sekiranya tidak mahu digunakan Hari Keputeraan dek kerana Pulau Pinang bukanlah negeri Raja bermonarki. Buruk benar bunyinya ‘Hari Jadi’ tersebut.

Saya difahamkan oleh seorang teman, digunakan perkataan hari jadi adalah kerana hari tersebut telah di’jadikan’ atau dilantik sebagai Yang DiPertua Negeri. Maka disini saya rasakan masih ramai pakar-pakar linguistik Melayu khususnya di Universiti Sains Malaysia patut mencari frasa yang lebih tepat bertepatan dengan status dan letaknya keistimewaan Yang DiPertua Negeri didalam institusi perlembagaan negeri itu sendiri.

Hal ini ditambah lagi dengan pengamalan protokol oleh unit protokol Kerajaan Negeri yang dilihat kurang tegas jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Yang menjadi tanda tanya kepada saya kenapa masih ada tetamu berbangsa Cina yang masih berpakaian tidak mengikut protokol yang ditetapkan didalam dewan istiadat. Perkara ini saya dapat lihat saban tahun berlaku.

Tidak kurang juga ‘Majlis Makan Malam’ yang sebenarnya lebih sedap bunyinya jika disebut ‘Majlis Santapan Malam’ dimana para tetamu yang semuanya adalah boleh dipanggil sebagai ‘Orang-orang Besar Negeri’ yang punggung mereka seolah-olah dilekatkan gam supaya tidak bangun ketika lagu ‘Hari Jadi’ dimainkan malah separuh dewan akan kosong ketika Tuan Yang Terutama masih bersantap kerana masing-masing hendak melepaskan niat merokok dan beramah mesra bersama kawan-kawan.

Perkara sama juga berlaku ketika keberangkatan Tuanku Agong tahun lalu sehingga menyebabkan Brid. Gen. Datuk Md. Tajri Alwi ada menyebut kehairanannya dengan orang Pulau Pinang yang seolah-olah ‘tidak hormat’ kepada Kebawah Duli Tuanku kerana masing-masing melekat punggungnya dan bersimpang-siur ketika Majlis Istiadat Santapan DiRaja. Saya masih ingat hanya meja mereka sahaja bangun ketika Tuanku Agong disembahkan cenderahati rasmi Kerajaan Negeri, tanda disiplin dan pemahaman tinggi protokol oleh Tentera Diraja Malaysia.

Lebih memalukan ketika Yang Amat Berhormat Ketua Menteri ketika mengangkat sembah Kebawah Duli Tuanku, meletakkan tangan di aras hidung seolah-olah menyembah ‘tok pek kong’ serta membongkok sehingga paras 90 darjah seperti orang Jepun. Lebih buruk lagi perbuatan ini dilakukan diatas pentas dan dapat dilihat oleh semua tetamu kehormat. Perkara ini menyebabkan pihak protokol dari Istana Negara terpacul dimulut ‘protokol Pulau Pinang tidak beri taklimat awalkah?’.

Tidak pula disentuh didalam adap berbahasa bersama Yang DiPertua Negeri yang lebih dikatakan santai seperti ‘nak jumpaTun’ atau ‘memohon untuk kunjung hormat’ yang memberikan tiada perbezaan diantara hendak berjumpa menteri, ketua kampong mahupun YB. Bukankah lebih molek jika dibahasakan ‘nak mengadap Tun’ atau ‘memohon mengadap’ sepertimana yang diamalkan oleh semua negeri-negeri lain termasuk Sabah, Serawak dan Melaka.

Hal ini hanyalah berlaku di pentadbiran Kerajaan Negeri dan orang umum, tetapi bukan didalam kediaman rasmi yang dikenali sebagai Seri Mutiara atau lebih eloknya Istana Seri Mutiara. Para pegawai lebih selesa membahasakan ‘nak ngadap Tun kat atas sat’ yang memberi maksud hendak berjumpa Tun ditingkat atas Istana didalam dialek Pulau Pinang. Begitu juga didalam perbualan diantara sesama pegawai istana yang akan membahasakan kediaman sebagai Istana, bukanlah rumah gabenur.

Apa yang menjadi persoalan disini dimanakah letaknya adap-adap berbahasa serta protokol Pulau Pinang. Adakah ini standard pengamalan negeri tersebut atau sememangnya ‘Orang Tanjung’ jahil berbahasa.

Perkara ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah pihak, tetapi bahasa dan pengamalan protokollah melambangkan keperibadian dan peradaban sesuatu bangsa.

21 Julai 2012

Seri Wangsa

G.E.M.B.I.R.A.

‘Kegembiraan itu hanya sementara, tetapi kenangan itu fana’.

Sehingga hari ini saya cuba berkali-kali mengingatkan kata kata diatas kepada diri saya ketika saya berada didalam keadaan gembira.

Ibu saya juga selalu berpesan, jangan terlalu gembira,nanti ada yang tidak seronok akan bakal menjelma.

Bunyinya mudah, tetapi jika diamati pesanan tersebut adalah pesanan orang-orang tua yang mengajak kepada kita untuk sentiasa beringat-ingat. Siapa kata Melayu itu leka?

Atas asas tersebut maka suatu hari terpacul dimulut saya kepada teman saya di Pulau Pinang, gembira itu sementara, kenangan itu fana.

Hari ini adalah hari yang boleh saya katakan agak gembira. Setelah beberapa ketika saya kehilangan mood untuk bekerja. Walaupun kerja-kerja masih dilakukan, tetapi semangat kritis dan kreatif hilang entah semena-mena.

Tetapi dalam masa yang sama, tiba jawapan daripada ROS yang persatuan yang hampir dua tahun saya usahakan akhirnya kini diluluskan. Banyak sebenarnya dugaan didalam mendaftarkan persatuan ini dengan sah. Kemelut mendapatkan jawatankuasa penaja yang berwibawa, masalah perundangan, masalah masa, dan banyak lagi.

Tetapi saya bersyukur,dikala saya hampir-hampir putus asa tiba-tiba datang sekumpulan rakan-rakan yang memberi saya nafas baru bahawa sebenarnya ramai yang sayangkan persatuan dan sekolah kami. Maka terdaftarlah Persatuan Alumni Maahad Al Mashoor Al Islami Pulau Pinang dengan nombor pendaftaran (PPM-011-07-8202012). Yang seronoknya nombor di hujung hampir hampir dengan nombor kad pengenalan saya 820812!

Keduanya, saya gembira kerana organisasi yang saya usahakan semenjak tahun 2011, kemudian melalui suatu fasa pergolakan dalaman ke’tidak gembira’an, politik dan politikus, kekangan kewangan, birokrasi dan sebagainya, akhirnya INSPIRE dapat ditubuhkan dengan rasminya pada 12 Jun 2012 yang lalu dan kini INSPIRE dapat berdiri dengan sendiri serta mempunyai akaun sah untuk diuruskan secara profesional.

Saya juga gembira hari ini kerana setelah lama saya terperuk dirumah,hari ini saya mula keluar melakukan kerjaan yang sebenarnya saya suka. Berjumpa rakan-rakan perniagaan,berbincang tentang perkara-perkara lalu serta pembaikan yang boleh dibuat, berbincang perancangan hadapan serta peluang dan idea baru. Mereka dahulu bermula sebagai ‘associate’ perniagaan kini telah menjadi rakan baik. Seorang datangnya jauh dari Batu Pahat dari sebuah syarikat yang besar namanya. Seorang lagi pula dekat saja di KL tapi bekerja jauh di Jeddah,Arab Saudi.

Kemudian lepak-lepak santai bersama dua orang yang saya kenali sebagai rakan yang mungkin dikemudian hari menjadi rakan perniagaan. Mereka ini saya kenal semasa menunaikan Haji pada tahun lepas. Kedua-duanya datang nun jauh dari Tanah Haram Makkah Al Mukaromah.

Perkara seperti ini juga menggembirakan saya.

Dan saya juga menerima kejutan kerana tak semena-mena semasa menunggu rakan saya di Sunway Pyramid, saya sempat singgah di Popular dan terlintas untuk membeli sebuah buku. Hanya selepas saya pulang kerumah,diatas katil yang separa empuk ini bertemankan penghawa dingin yang diturunkan sehingga 18 darjah Celsius, baru sempat saya membelek-belek dari satu muka surat ke muka surat yang lain.

Pertama apabila saya membuka halaman Part 2, gambar Almarhum Tengku Ismail Tengku Su yang saya bahasakan Ku Wei ada disitu. Ku Wei adalah seorang rakan yang sangat rapat, banyak gelak tawa dan ada juga tangis diantara kami berdua. Paling menyayat hati,hari hari terakhir sebelum Almarhum kembali ke rahmatullah, kami sempat berbual-bual didalam telefon. Masih sempat membuat jenaka. Saya masih menyimpan Tuhfat Al Nafis yang dihadiahkan serta salinan perjanjian Kedah Pulau Pinang bersama Syarikat Hindia Timur Inggeris. Banyak lagi memori yang saya simpan untuk serta gosip-gosip istana kami yang saya akan kenang sampai bila-bila.

Keduanya, apabila saya mula membaca helaian demi helian dan prakata oleh Datin Halimah Mohd Said, Datin Paduka Marina Mahathir dan YB Nurul Izzah, selalunya saya jarang membaca nama-nama yang akan disebut oleh penulis tanda penghargaan. Selalunya penulis sering menyatakan terima kasih dan sayang kepada rakan-rakan,isteri,suami, anak-anak, orang yang telah pergi yang kadang-kadang tiada kena mengena dengan minat si pembaca.

Tetapi kali ini saya terasa untuk membaca satu persatu. Telahan saya nama-nama ini mungkin penting untuk saya kenali kerana mereka pastinya orang yang penting, negarawan, nama besar yang membantu bagi penghasilan penulisan-penulisan yang tajam oleh penulis ini.

Prakata daripada ketiga nama besar diawalnya sudah cukup melambangkan betapa tingginya pemikiran penulis tersebut, rapatnya sipenulis bersama mereka, sungguh baik bahasanya disamping menambahkan lagi minat saya untuk membaca helaian selanjutnya.

Image

Tetapi mata saya terpaku dibarisan kedua terakhir dimuka surat 20. Adakah ini aku?

Image

Saya membaca sekali lagi, Ya ini aku!

Lalu saya cuba berfikir apa yang telah aku lakukan? Kepada pembikinan buku ini, atau IDEAS atau dirinya si penulis atau adakah ia hanya nama-nama yang tersenarai didalam senarai kad ‘associate’nya.

Ingin saya terus bertanya kepada si penulis tersebut. Ah malulah nak tanya.

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk mengolah keadaan keliru dan terkejut ini kepada sesuatu yang sepatutnya menggembirakan serta penghargaan. Akhirnya, mungkin kerja-kerja saya selama ini dilihat oleh seseorang setelah lama saya ditindas oleh politik membunuh Pulau Pinang yang tidak membina.

Abiding Times 2 oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibnu Tuanku Muhriz, menggembirakan saya hari ini.

Kegembiraan ini menyebabkan jari jemari saya pantas menaip didalam blog ini.

Tapi ingat kegembiraan itu hanya sementara.

Ingatkah kita ketika dahulu semasa menghadapi peperiksaan SPM, dua tahun persediaan diambil, bertungkus lumus, memerah otak…..peperiksaan nya hanya beberapa hari dan kegembiraannya hanya 5 minit ketika melihat keputusan yang cemerlang.

Mungkin berlanjutan beberapa jam ketika hendak diceritakan kepada keluarga.

Tetapi saat yang paling gembira hanyalah 5 minit ketika melihat keputusan tersebut. Selebihnya sudah menjadi alah bisa tegal biasa.

Begitu juga dalam hal-hal lain.

Seperti kisah PAMMI dan INSPIRE saya tadi, prosesnya mengambil masa sangat lama,yang gembiranya hanya beberapa minit apabila mengetahui apa yang kita usahakan itu berjaya.

Maka ingatlah kembali kata kata ini, KEGEMBIRAAN ITU SEMENTARA, KENANGAN ITU FANA.

Maka yang hakiki hanyalah kegembiraan di Akhirat kelak….